Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Jun 2009

SEMPORNA 11 Jun – Penduduk Kampung Terusan, Pulau Bum-Bum bersyukur biarpun masjid yang mereka bina amat ringkas dan tidak seindah masjid-masjid lain.

Mereka berkata, apa yang paling penting adalah keselesaan untuk jemaah menunaikan solat.

Lamtara Akimudin, 60, berkata, soal cantik tidak mustahak kerana ia boleh diindahkan lagi dari semasa ke semasa

”Masjid yang cantik tidak akan bermakna jika ia tidak diimarahkan oleh penduduk. Jadi apa yang lebih penting adalah penduduk memanfaatkan sepenuhnya masjid yang dibina ini,” katanya.

Imam masjid berkenaan, Junaha Makling, 40, pula berkata, masih banyak yang perlu dilakukan bagi melengkapkan masjid sebagai tempat bersolat dan mempelajari ajaran Islam.

Bagaimanapun, katanya, kelengkapan yang ada mencukupi untuk penduduk kampung mengadakan solat berjemaah lima waktu.

”Kami sebenarnya sangat bersyukur apabila dapat mengadakan solat Jumaat di masjid ini baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Tarapa Baarang, 70, pula berkata, kesungguhan penduduk Kampung Terusan membina masjid perlu dicontohi kampung-kampung lain.

”Mereka membuktikan, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Segala kesulitan diatasi demi mencapai matlamat memiliki sebuah masjid,” katanya.

Salamat Lawasin, 80, berkata, beliau gembira melihat kejayaan penduduk Kampung Terusan membina masjid dengan titik peluh mereka sendiri.

”Surau kami sangat kecil dan banyak yang rosak. Harap ada orang datang melihat dan membantu,” katanya yang tinggal di Kampung Hamparan Darat.

Read Full Post »

Gigih bina masjid

 

Oleh HAMDEN RAMLI
utusansabah@utusan.com.my

 

Masjid Sheikh Datu Seribu di Pulau Bum-Bum, Semporna masih memerlukan peruntukan bagi meneruskan pembinaannya. – utusan / Ghazali Basri


SEMPORNA 11 Jun – Impian penduduk Kampung Terusan untuk memiliki sebuah masjid bagi menggantikan surau usang sudah lama terpendam. Setiap hari selesai solat, ahli jemaah akan duduk berbincang tentang cara terbaik untuk menggantikan surau tersebut.

Dengan bilangan penduduk yang semakin bertambah, surau itu perlu diganti segera. Bagi penduduk kampung yang terletak di Pulau Bum-Bum itu, mereka sedar hasrat tersebut tidak akan tercapai jika menunggu pihak berkuasa membina masjid tanpa mereka berusaha ke arah itu.

Justeru pelbagai pelan dicadangkan tetapi akhirnya mereka bersetuju memilih pendekatan berikut, iaitu mendapatkan peruntukan daripada wakil rakyat, cari kontraktor dan bina surau tersebut.

Menurut Pengerusi Masjid Kampung Terusan, Awang Kassim, 59, bermula dari saat itu kerja berjumpa pegawai kerajaan dan orang politik bermula. Mereka tidak menunggu lama dan akhirnya bantuan yang diharapkan tiba.

Selepas beberapa penilaian, permohonan mereka mendapat perhatian dan diluluskan di bawah peruntukan Ahli Parlimen kawasan tersebut berjumlah RM130,000.

Berita itu cepat tersebar dan kegembiraan tidak dapat disembunyikan lagi daripada wajah penduduk kampung kerana mereka hanya selangkah untuk memiliki masjid baru.

Bagaimanapun, kegembiraan itu terhenti apabila selepas dibuat pengiraan lebih teliti, jumlah tersebut tidak cukup untuk membayar kontraktor membina masjid tersebut.

”Pada mulanya saiz masjid yang diluluskan Pejabat Daerah hanya 13 meter panjang dan 13 meter lebar. Selepas diteliti, keluasan tersebut tidak cukup untuk menampung keperluan penduduk hampir 500 orang.

”Oleh itu kami besarkan sedikit kepada 18 meter panjang dan 8 meter lebar. Dengan pembesaran itu bermakna kos juga bertambah. Jadi niat untuk melantik kontraktor terpaksa diketepikan kerana peruntukan tidak cukup,” katanya.

Masalah yang timbul itu menyebabkan sekali lagi ahli kariah berkumpul mencari jalan penyelesaian terbaik. Selepas puas berfikir, jalan penyelesaian dicapai, masjid itu akan dibina oleh penduduk kampung sendiri.

Jun 2008 pembinaan bermula di tapak lama surau dengan kerja pertama dilakukan adalah meroboh struktur surau lama.

Selepas itu, satu persatu tiang dinaikkan, batu bata disusun, ditampal simen sebelum dipasang bumbung dan selepas 12 bulan berlalu tersergam sebuah masjid yang serba ringkas di Kampung Terusan, Pulau Bum-Bum.

Walaupun masih belum lengkap sepenuhnya, kesyukuran dan rasa bangga jelas terbayang pada wajah penduduk kampung kerana mereka kini mempunyai tempat untuk menunaikan ibadat dengan lebih selesa dan selamat.

Masjid yang dinamakan sebagai Masjid Sheikh Datu Saribu itu kemudiannya dirasmikan oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika menghadiri program bersama rakyat di kampung berkenaan baru-baru ini.

Menurut Awang, penduduk kampung yang membantu membina masjid tersebut diberikan upah antara RM10 dan RM20 sehari.

”Kebanyakan mereka adalah petani dan nelayan. Jika mereka membantu membina masjid ini bermakna mereka tidak ke kebun atau ke laut mencari pendapatan harian. Oleh itu, gaji itu sekadar sumbangan bagi menghargai pengorbanan mereka,” katanya.

Awang berkata, sebenarnya masjid tersebut belum 100 peratus siap dan masih banyak kemudahan lain perlu dibina seperti tempat mengambil wuduk dan tandas.

Selain itu, kerja-kerja akhir seperti menampal tiang-tiang dalam masjid dengan jubin dan memasang peralatan sokongan perlu dilakukan tetapi terbantut kerana ketiadaan peruntukan.

”Pada saya keutamaan adalah membina pagar bagi menghalang haiwan masuk dan mencemari kawasan masjid. Selain itu, pagar juga penting kerana keselamatan. Satu pintu cermin masjid ini telah retak kerana ditanduk kerbau.

”Kemudahan lain yang perlu dibina ialah tempat mengambil wuduk dan tandas. Bagaimanapun, dua kemudahan itu sukar untuk dibina masa ini kerana ketiadaan bekalan air bersih yang tetap.

”Pada masa ini kampung ini masih bergantung air hujan. Kami cuba menggali perigi tetapi yang keluar adalah air masin,” katanya.

Awang menambah, cabaran utama dalam pembinaan masjid itu adalah untuk membawa bahan binaan ke pulau berkenaan.

Menurut Awang, walaupun Masjid Sheikh Datu Saribu tidak secantik masjid-masjid lain tetapi mereka bangga kerana masjid tersebut berdiri hasil himpunan pengalaman, kudrat dan keringat penduduk kampung itu.

Read Full Post »

TRADISI KEKUATAN KITA

Jun 11, 2009 by silamgemilang

KaamatanAlong1

1000 TAHUN AKU MEMANDANG,

MENCARI SINAR YANG JAUH KE HADAPAN,

BAGI MEWARNAI HIDUP ANAK-ANAK KU,

AGAR TIDAK HILANG DI MATA DUNIA.

 

1000 TAHUN AKU MENOLEH KE BELAKANG,

WAJAH DUNIA DAH BERUBAH,

WAJAH KU DA BERKEDUT, MATAKU KABUR, TENAGAKU LEMAH,

KU LIHAT ANAK-ANAK  YANG KU PANDANG

DA MEWARISI TRADISI NENEK MOYANGKU.

 

BENAR…BENAR…JANGAN BIAR BUDAYA HILANG…

INILAH AZIMAT TRADISI KEKUATAN KITA,

INILAH PEDANG DI MATA DUNIA,

INILAH BUMI KEBENARAN KITA.

 

1000 TAHUN KE HADAPAN AKU MENDONGAK KE LANGIT

MANUSIA PANTAS BERLARI SEKELIP MATA DA BERADA DI BULAN,

DUNIA SEMAKIN CANGGIH,MODEN,GLOBALISASI,

AKU MASIH PERTAHANKAN NILAI BUDAYA INI,

ANAK-ANAK KU….JANGAN TINGGALKAN ADAT RESAM MU..

INILAH AZIMAT KAU LAHIR DARI SUKUKAUM KADUMU

KADAZAN DUSUN MURUT ( KADUMU )

 

1000 TAHUN INI…

DUNIA MELIHATMU,

KAU HEBAT….ADAT RESAM TAKKAN HILANG DIDUNIA

ANAK GENERASI KEKAL PERTAHANKAN BUDAYA KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN

 

nUKILAN

ARMENDRAH BIN ABDUL RASHID

Penulis Suara KEMAS Zon Tawau

Read Full Post »

Chin Peng Dan Kekejaman Pengganas Komunis
Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) — Mungkin tidak ramai rakyat Malaysia yang masih ingat keperitan hidup pada era darurat antara tahun 1948 dan 1960, yang merupakan episod hitam kepada negara dan mereka yang terlibat secara langsung dengan kekejaman pengganas komunis.

Beribu-ribu orang awam dan anggota keselamatan terutamanya orang Melayu terkorban di tangan pengganas komunis dengan cara yang amat kejam seperti tubuh badan mereka dikelar, ada yang dibakar, ditembak, digantung dan ditanam hidup-hidup dalam lubang kubur yang dipaksa digali oleh mereka sendiri.

Namun peristiwa-peristiwa hitam yang semakin dilupakan ini kembali semula dalam perbualan dan perbincangan ramai berikutan usaha bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, untuk pulang ke Malaysia.

Dan apabila Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan baru-baru ini meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini atas dasar perikemanusiaan, ramai yang terasa bagaikan luka lama berdarah kembali.

Alasan yang diberikan oleh pemimpin politik itu ialah Chin Peng, sudah tua dan tidak lagi menjadi ancaman kepada negara, tidak dapat diterima oleh mangsa dan keluarga mangsa kekejaman pengganas komunis itu.

Tidak dapat dinafikan bahawa permintaan atas dasar kemanusiaan dalam apa-apa perkara mampu meraih simpati ramai dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, namun persoalannya wajarkah Chin Peng dibenar pulang untuk menetap di negara ini?

Apakah pengukur kepada pertimbangan itu dan apakah motif sebenar pihak terbabit yang berusaha agar bekas pemimpin parti komunis itu dapat pulang walaupun mahkamah pada 30 April lepas menolak permintaannya untuk kembali ke negara ini?

Kira-kira empat tahun lepas, sebuah parti politik cuba memutarbelitkan sejarah dengan mengatakan kononnya tentangan daripada PKM antara faktor kenapa British memberikan kemerdekaan kepada Malaysia.

Cubaan ini secara tersirat cuba menggambarkan kononnya Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan sedangkan beliau adalah pemimpin parti komunis yang bertanggungjawab terhadap kematian beribu-ribu rakyat negara ini semasa era darurat.

Hakikatnya ialah perjuangan PKM juga pada asalnya tiada kena mengena langsung dengan usaha untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada jajahan British.

Ini dijelaskan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang berkata PKM yang ditubuhkan pada 1930 adalah sebahagian daripada gerakan komunis antarabangsa terutama Komunis Rusia dengan matlamat melebarkan ideologi itu.

“Mereka bukannya mahu bebaskan negara ini daripada British tapi mahu jadikan Tanah Melayu sebahagian orde komunis dunia. Bukan untuk capai kemerdekaan,” kata pakar sejarah daripada Universiti Malaya itu.

Beliau berkata fahaman komunis ketika itu juga menolak konsep negara bangsa dan tidak mengiktiraf sempadan politik selain menolak ideologi kapitalisme.

Berdasarkan hujah sejarawan itu, jelaslah perjuangan parti komunis yang diketuai Chin Peng itu bertujuan menjadikan negara ini sebuah republik komunis dan bukannya negara demokrasi sepertimana sekarang.

Mengikut fakta sejarah, PKM telah menubuhkan Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) dan bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun yang menakluk Tanah Melayu dari 13 Febuari 1942 hingga 15 Ogos 1945.

Ketika itu, Perang Dunia Kedua antara Kuasa Bersekutu (Negara-Negara Komanwel, Perancis, Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet dan China) dan Kuasa Paksi (Jepun, Jerman dan Itali) sedang mengambil tempat (1939-1945).

MPAJA atau Bintang Tiga yang memperoleh bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan logistik dan perubatan daripada British menentang Jepun menggunakan taktik perang gerila.

Ramai orang Cina menyertai Bintang Tiga ekoran kebencian mereka kepada Jepun yang ketika itu menakluki China.

Bintang Tiga telah memerintah Tanah Melayu selama empat belas hari selepas kekalahan dan pengunduran Tentera Jepun kepada Tentera Bersekutu pada 16 Ogos 1945 sehingga kepulangan tentera British ke Tanah Melayu pada awal September.

Dalam tempoh itulah ramai orang awam diseksa, dirogol dan dibunuh secara kejam oleh komunis, terutama orang Melayu kerana dituduh bersubahat dengan Jepun dan Inggeris. Ini kerana ketika pendudukan Jepun, majoriti anggota Pasukan Polis Jepun atau Jookidam adalah orang Melayu.

“Selepas British balik, orang Melayu telah bangkit dan menentang komunis cuma mereka tidak faham bahawa yang sepatutnya ditentang adalah komunis, bukannya orang Cina,” kata Prof Khoo.

Kesan daripada ketidakfahaman itu, berlakulah rusuhan kaum di beberapa tempat antaranya di Batu Pahat, Johor, dan Sungai Manik, Perak, dari September 1945 hingga April 1946.

Pada 17 Oktober 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan oleh Moktaruddin Lasso di Ipoh, Perak, bagi meraih simpati dan sokongan orang Melayu, selain mengindoktrinasi fahaman komunis di kalangan kaum itu.

Ketika itu, PKM dilihat menguasai PKMM melalui tokoh-tokoh jawatankuasanya seperti Rashid Maidin, Abdullah C.D, Arshad Ashaari dan Mokhtaruddin. Golongan kiri ini cenderung supaya Tanah Melayu mengikut Indonesia mendapatkan kemerdekaan pada 1949.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Feb 1948 dilihat mengenepikan komunis sekaligus memberikan tamparan hebat kepada parti komunis yang ingin menjadikan Tanah Melayu sebuah republik komunis.

Sebelum itu, British telah membentuk Malayan Union (1946-1948) dan menjadikan Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Selat termasuk Singapura di bawah pemerintahan gabenor Sir Edward Gent.

“Selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang mengembalikan semula kuasa raja-raja Melayu ekoran perjuangan UMNO menentang Malayan Union, parti komunis telah mengangkat senjata.

“PKM kecewa sebab British kembalikan kuasa raja-raja Melayu. Sebab itu mereka tentang British kerana tidak dapat jadikan Tanah Melayu sebuah republik komunis,” kata ahli sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam.

Berikutan itu, beberapa siri serangan dan pembunuhan telah dilakukan oleh PKM telah memaksa Sir Edward Gent mengisytiharkan darurat di negara ini pada 12 Julai 1948 dan pada 23 Julai tahun sama, PKM telah diharamkan.

Sebelum itu, Chin Peng mengambilalih pimpinan parti komunis daripada Loi Tek (Setiausaha PKM sebelum Chin Peng) yang menghilangkan diri bersama wang simpanan parti pada Mac 1947.

Dalam tempoh inilah, pengganas komunis yang diketuai Chin Peng menggunakan taktik gerila beroperasi dari hutan melancarkan serangan terhadap balai-balai polis dan kampung-kampung dan membunuh banyak anggota pasukan keselamatan dan orang awam.

Ia termasuklah peristiwa tragik serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor pada 23 Febuari 1950 di mana anggota pasukan keselamatan berjuang habis-habisan sehingga ke titisan darah terakhir.

Dalam insiden itu segerombolan 180 pengganas komunis telah mengepong dan menyerang rumah pasung yang terletak di tebing Sungai Muar yang ketika itu diketuai Sarjan Jamil Mohd Shah dengan 21 anggota campuran polis tugas am, polis khas dan polis bantuan. Serangan tragik itu mengorbankan 17 anggota keselamatan.

Pada 28-29 Dis 1955, Rundingan Baling telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling, Kedah di antara pihak Kerajaan diketuai Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu ketika itu dan PKM diketuai Chin Peng.

PKM telah meminta kerajaan membenarkannya bergerak sebagai parti politik tetapi permintaan itu ditolak berdasarkan kekejaman yang telah dilakukan oleh pengganas komunis sebelum itu. Pada masa yang sama kerajaan menawarkan pengampunan dengan syarat parti komunis itu dibubarkan.

Pemberontakan pengganas komunis berterusan sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, ketika darurat masih berkuatkuasa namun ia dihentikan pada 31 Julai 1960 dengan pengunduran tentera komunis ke sempadan Tanah Melayu-Thailand.

Kebangkitan semula PKM dan Parti Komunis Kalimantan Utara (1968-1989) untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia secara kekerasan bagi menubuhkan sebuah republik komunis telah menghidupkan kembali serangan komunis, tetapi kali ini ia juga di lakukan di kawasan bandar. Antaranya ialah pengganas komunis mengebom Markas Briged Tengah Pasukan Polis Hutan (PPH) di Jalan Pekeliling (kini Jalan Tun Razak) pada 3 Sept 1975 yang mengorbankan dua anggota polis dan mencederakan 10 anggota lain. PPH kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam tempoh itu, komunis melancarkan serangan ke atas unit-unit tentera darat di sempadan Thailand dan Kalimantan selain serangan skuad-skuad khas yang menjalankan operasi pembunuhan ketua-ketua pasukan keselamatan dan pemimpin berpengaruh di kawasan bandar.

Dua pembunuhan nekad yang dilakukan anasir komunis ialah pembunuhan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang ditembak mati di Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974 dan pembunuhan Ketua Polis Negeri Perak Tan Sri Khoo Chong Kong di Ipoh pada 13 November 1975.

Setelah 41 tahun pemberontakan komunis dan setelah beribu-ribu nyawa terkorban, akhirnya PKM yang diketuai Chin Peng meletakkan senjata dan dibubarkan menerusi Perjanjian Haadyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 antara Kerajaan Malaysia, PKM dan Kerajaan Thai.

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Michael Chen berkata Chin Peng telah terlepas peluang untuk kembali ke negara ini selepas Kerajaan membenarkan mereka berbuat demikian dalam tempoh setahun selepas perletakan senjata komunis pada 1989 itu.

“Atas beberapa sebab, dia tidak pulang. Cubaannya (untuk pulang) melalui proses perundangan telah gagal,” katanya merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 30 April lepas yang tidak membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini kerana beliau gagal membuktikan kerakyatannya.

Chen, yang juga bekas Timbalan Presiden MCA berkata kerajaan mungkin boleh menimbangkan untuk membenarkan bekas pemimpin parti komunis itu sekadar untuk melawat kubur ayahnya di Malaysia atas dasar kemanusiaan.

Sehingga kini, hasrat Chin Peng untuk balik menerima tentangan keras terutama daripada persatuan-persatuan bekas anggota polis dan tentera yang menjadi mangsa kekejaman komunis.

“Kita tidak mahu luka lama berdarah kembali,” kata pemangku presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Ku Mohamad Khalid Tuan Ibrahim mengulas isu itu.

Apa yang pasti isu Chin Peng tidak harus dilihat dari sudut perkauman atau kepentingan politik yang sempit kerana ketika komunis bermaharajalela, yang menjadi mangsa adalah semua rakyat tanpa mengira warna kulit.

Sepertimana jawapan Khoo Kay Kim ketika ditanya wajarkah Chin Peng dibenarkan pulang, baginya, “orang yang berhak menentukan sama ada Chin Peng boleh balik atau tidak ialah sanak saudara mereka yang dibunuh komunis”.

Persoalannya, apakah faedahnya kepada negara jika Chin Peng dibenarkan pulang?

— BERNAMA

Read Full Post »

Pembentukan Kerajaan Perpaduan Perlu Berteraskan Kepentingan Negara – Shafie
MELAKA, 7 Jun (Bernama) — Umno perlu meneliti kandungan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang dicadangkan PAS sama ada ia berdasarkan kepada kepentingan negara dan rakyat atau fahaman parti politik sebelum sebarang ketetapan dibuat, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata apa yang penting dilihat ialah kebaikan-kebaikan yang boleh membantu negara dan rakyat termasuk memulihkan ekonomi dan menstabilkan politik.

Katanya cadangan melaksanakan pembentukan kerajaan perpaduan itu mestilah berteraskan kepada keikhlasan.

“Saya melihat kalau sekiranya cadangan itu untuk kepentingan negara dan rakyat, kita perlu melihat dan mendengarnya, bagaimana ia boleh menambah baik dari segi pembangunan negara apatah lagi dalam keadaan ekonomi dunia pada hari ini yang amat mencabar, kita memerlukan kesejahteraan, kestabilan suasana yang ada bukan saja di negara kita malah di rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Hari Potensi Tabika Kemas peringkat kebangsaan di Dataran Sejarah di sini, malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara PAS dengan Umno yang dicadangkannya sebelum ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Shafie berkata “(Perdana Menteri) Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, saya ingat pernah menyatakan kalau pun nak melihatkan keadaan ini (cadangan) atau pun kita nak respons seharusnya tidak ada syarat-syarat tertentu”.

“(Kerajaan campuran) sejarah kita memang pernah berlaku pun di zaman (bekas menteri besar Selangor) Datuk Harun Idris, kita pernah bergabung dengan kerajaan PAS, kita telah melantik (bekas Presiden PAS) Datuk Mohamed Asri Muda menjadi Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah satu ketika dahulu dan bukan satu perkara mustahil,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

P5090106P5090122

Lawatan Yang Berbahagia Dato Abd. Puhat bin Mat Nayan Ketua Pengarah KEMAS Malaysia, berinisiatif merealisasikan misi dan visi Jabatan KEMAS yang berperanan menggerak, mendorong dikalangan kakitangan KEMAS agar merit cemerlang dan gemilang bagi membangunkan masyarakat luar bandar agar setanding dengan kehidupan yang dinikmati dikawasan bandar. Jika sahaja disebut KEMAS setiap orang akan beranggapan TABIKA/TASKA sahaja. Saya mengakui orang ramai lebih mengenali KEMAS melalui peranan yang dimainkan TABIKA. KEMAS bertanggungjawab dalam pembangunan modal insan agar seiring dalam arus pembangunan negara. Peranan yang telah dimainkan KEMAS adalah tidak ternilai dan tidak terbalas kerana guru-guru RELA BERKORBAN MENGAJAR ANAK-ANAK BANGSA supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan pendidikan negara. Siapa sangka guru-guru KEMAS masakini menerima latihan pendidikan dari MAKTAB PERGURUAN bertujuan meletakkan guru-guru KEMAS sebaris dengan guru-guru lain bagi mencetus,membimbing,mendidik,mencurahkan ilmu,membina minda intelek,kreatif,proaktif dan berwawasan bagi melahirkan insan-insan yang tinggal jauh di pedalaman supaya anak-anak tidak terpinggir dari arus kemajuan.

P5090115P5090113P5090118P5090121P5090131P5090079P5090080

Keikhlasan dan kejujuran guru-guru KEMAS mendidik anak-anak Bangsa merupakan satu tugas dan tanggungjawab yang bukan semudah yang kita fikirkan. Saya meneropos ke alam pendidikan TABIKA/TASKA kehidupan kanak-kanak penuh minat mempelajari subjek-subjek yang diajar adalah berasaskan sistem pendidikan negara. Setiap masa setiap detik jam berputar setiap itulah guru-guru KEMAS RELA BERKORBAN mengasuh,mendidik,mengajar secara sistematik. Guru-guru KEMAS berkomunikasi dengan kanak-kanak berlandaskan andragogi dan pedagogi supaya kehalusan naluri dan jiwa kanak-kanak mudah dan aktif bertindakbalas dalam mencurahkan kasih sayang yang suci dan murni sehingga meletakkan modal insan kelas pertama sebagai medan perjuangan hakiki.

Pernahkan kita membayangkan kanak-kanak kecil ini boleh dilentur menjadi seorang pesilat hebat,pendeklamator lantang,pewaris seni budaya bangsa,pembaca terbaik negara,pemain futsal hebat,pemain bola keranjang lincah,pelari yang bermatlamat,pencinta kehijauan bumi,pelajar berminda kelas pertama,pelukis seniman dan yang paling berharga pewaris kepimpinan negara di masa akan datang. Kemahiran ini tidak akan datang bergolek jika tidak ada pembimbing/guru KEMAS.

Fokus pemikiran berteras positif yang meletakkan kepentingan nasib anak-anak sebagai generasi bangsa di masa akan datang akan lahir seperti yang saya huraikan di atas melalui langkah 1A KEMAS bah kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Saya amat kagum dengan guru-guru KEMAS yang berilmu,kreatif,dinamik dan berkebolehan tinggi melentur anak-anak sejar peringkat kecil lagi sehingga boleh berucap dengan hebat dan lantang dan berkarisma nilai permata cekap,hebat dan proaktif berkemahiran serba boleh dan berilmu pengetahuan dengan meletakkan minda kelas pertama mewarnai kendiri anak-anak kita.

Terima kasih cikgu….syabas,syabas,syabas,syabas,syabas,syabas,syabas dan tahniah kepada guru-guru KEMAS yang iklhlas mendidik dan membimbing anak-anak bangsa 1Malaysia bagi merekodcipta kegemilangan pembangunan negara sehingga ke generasi-generasi berjuta-juta tahun mendatang demi mencapai matlamat sebuah negara yang “Selamat,Aman dan Makmur”

 

“1A KEMAS 1MALAYSIA”

 

ARMENDRAH BIN ABDUL RASHID

Penulis Suara KEMAS Zon Tawau.

Sabah.

Read Full Post »

 
KUALA LUMPUR: Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini diberi amaran tidak terbabit dengan amalan rasuah kerana jika terbukti bersalah tindakan ditamatkan perkhidmatan akan dilakukan bagi menjaga nama baik sektor itu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pihaknya juga mahu mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai perlakuan rasuah membabitkan penjawat awam segera melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Kalau tak ada orang beri, tak ada orang yang menerima (rasuah)… kedua, kalau tak lapor susah juga, kalau dari segi sayalah, kalau orang lapor, (maka) saya (akan) tahu (mengenai perlakuan rasuah), tapi jangan menganiaya orang.

 

“Kalau kita tahu memang sahih dia itu (terbabit) rasuah, maka kita perlu ambil tindakan setimpal dengan kesalahan dilakukannya.

“Selain tindakan mahkamah, mereka juga tertakluk kepada peraturan semasa, kalau diperuntukkan mereka dibuang kerja, maka mereka akan dibuang kerja,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Program Jalinan Ilmu 2009 antara Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati Dua dan SK Cherok Paloh, Kuantan, Pahang di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan, kaji selidik mengenai rasuah di negara ini mendapati parti politik dan kakitangan awam dikenal pasti sebagai kumpulan paling teruk dicemari gejala itu.

Hasil kajian Barometer Rasuah Global (GCB) yang diumumkan Transparency International (TI) itu menunjukkan parti politik menduduki tangga teratas statistik rasuah dengan 42 peratus disusuli kakitangan awam (37 peratus), sektor swasta dan perniagaan (12 peratus), badan kehakiman (lima peratus), wakil rakyat (empat peratus) serta satu peratus pihak media.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Sektor Awam (Cuepacs), Omar Osman ketika dihubungi bagi mengulas hasil kaji selidik GCB itu menganggap hasil kajian berkenaan sebagai tidak adil dan kurang tepat kerana selepas penambahbaikan sektor awam dilakukan ia secara tidak langsung menunjukkan perlakuan rasuah semakin berkurangan.

Read Full Post »

Jun 5, 2009 by silamgemilang

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Pesta Kaamatan Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Padang Merdeka kota Kinabalu, akan menjadi 1kekuatan, 1keunikan, 1ikatan, 1rangkaian, 1kegemilangan, 1hati, 1jiwa, 1ikatan persaudaraan bagi memperkuatkan ukhwah dikalangan rakyat di seluruh negeri di 1Malaysia. Sopan Santun,Budi Bahasa dan sifat hormat menghormati antara satu dengan lain menjadi nadi kekuatan perpaduan dan hubungan baik yang diterjemahkan oleh individu di negeri Sabah.Saya inginmengucapkan Selamat Datang kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri Malaysia bagi merasmikan program ini.Syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Aman Ketua Menteri Sabah yang gemilang menganjurkan program ini sehingga menjadi titik pertama di 1Malaysia bagi mengeratkan Perpaduan,Setiakawan,Sayangi Malaysia,Hormat Menghormati dan saya yakin melalui program ini akan terukir senyuman 1Bangsa 1Malalaysia bagi meletakkan Malaysia di mata dunia yang benar-benar maju seiring dengan kekuatan persefahaman dan persaudaran dalam masyarakat majmuk dan berbilang sukukaum boleh hidup selamat, aman dan makmur.

PESTA-KAAMATAN-NASIONAL

Saya yakin kehadiran orang ramai samada penduduk Sabah, Sarawak, Semenanjung malahan pelancong luar negara akan turut meraihkan pesta yang penuh bersejarah dalam kalendar 1Malaysia. Keikhlasan rakyat mewujudkan silaturrahim dan perpaduan dikalangan pelbagai ethnik dan sukukaum kini terbukti apabila kerajaan Malaysia mengiktiraf program ini telah gemilang menyatupadukan rakyat Sabah untuk terus hidup selamat,aman dan makmur. Syabas dan tahniah kepada saudara,rakan dan rakyat Sabah kerana nilai dan budaya yang unik masih lagi utuh dan kukuh akan menjadi tunjang kekuatan negara melonjak tinggi di persada dunia dalam meletakkan ekonomi negara setanding dengan negara-negara lain di dunia.

Marilah kita beramai-ramai memeriahkan dan meraihkan program ini sebagai tanda ikatan persaudaraan dan kasih sayang rakyat dalam menyahut slogan 1Malaysia : Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Diutamakan demi keharmonian,kesejahteraan dan pembangunan 1Sabah 1Malaysia.

 

“1A KEMAS 1Sabah 1Malaysia”

 

DSC01527

ARMENDRAH BIN ABDUL RASHID

Penulis Suara KEMAS Zon Tawau, Sabah

Read Full Post »

DSC01670DSC01671DSC01672DSC01677DSC01685DSC01694DSC01698DSC01705DSC01707DSC01709DSC01710

Read Full Post »

« Newer Posts