utusansabah@utusan.com.my
![]() |
Masjid Sheikh Datu Seribu di Pulau Bum-Bum, Semporna masih memerlukan peruntukan bagi meneruskan pembinaannya. – utusan / Ghazali Basri
|
SEMPORNA 11 Jun – Impian penduduk Kampung Terusan untuk memiliki sebuah masjid bagi menggantikan surau usang sudah lama terpendam. Setiap hari selesai solat, ahli jemaah akan duduk berbincang tentang cara terbaik untuk menggantikan surau tersebut.
Dengan bilangan penduduk yang semakin bertambah, surau itu perlu diganti segera. Bagi penduduk kampung yang terletak di Pulau Bum-Bum itu, mereka sedar hasrat tersebut tidak akan tercapai jika menunggu pihak berkuasa membina masjid tanpa mereka berusaha ke arah itu.
Justeru pelbagai pelan dicadangkan tetapi akhirnya mereka bersetuju memilih pendekatan berikut, iaitu mendapatkan peruntukan daripada wakil rakyat, cari kontraktor dan bina surau tersebut.
Menurut Pengerusi Masjid Kampung Terusan, Awang Kassim, 59, bermula dari saat itu kerja berjumpa pegawai kerajaan dan orang politik bermula. Mereka tidak menunggu lama dan akhirnya bantuan yang diharapkan tiba.
Selepas beberapa penilaian, permohonan mereka mendapat perhatian dan diluluskan di bawah peruntukan Ahli Parlimen kawasan tersebut berjumlah RM130,000.
Berita itu cepat tersebar dan kegembiraan tidak dapat disembunyikan lagi daripada wajah penduduk kampung kerana mereka hanya selangkah untuk memiliki masjid baru.
Bagaimanapun, kegembiraan itu terhenti apabila selepas dibuat pengiraan lebih teliti, jumlah tersebut tidak cukup untuk membayar kontraktor membina masjid tersebut.
”Pada mulanya saiz masjid yang diluluskan Pejabat Daerah hanya 13 meter panjang dan 13 meter lebar. Selepas diteliti, keluasan tersebut tidak cukup untuk menampung keperluan penduduk hampir 500 orang.
”Oleh itu kami besarkan sedikit kepada 18 meter panjang dan 8 meter lebar. Dengan pembesaran itu bermakna kos juga bertambah. Jadi niat untuk melantik kontraktor terpaksa diketepikan kerana peruntukan tidak cukup,” katanya.
Masalah yang timbul itu menyebabkan sekali lagi ahli kariah berkumpul mencari jalan penyelesaian terbaik. Selepas puas berfikir, jalan penyelesaian dicapai, masjid itu akan dibina oleh penduduk kampung sendiri.
Jun 2008 pembinaan bermula di tapak lama surau dengan kerja pertama dilakukan adalah meroboh struktur surau lama.
Selepas itu, satu persatu tiang dinaikkan, batu bata disusun, ditampal simen sebelum dipasang bumbung dan selepas 12 bulan berlalu tersergam sebuah masjid yang serba ringkas di Kampung Terusan, Pulau Bum-Bum.
Walaupun masih belum lengkap sepenuhnya, kesyukuran dan rasa bangga jelas terbayang pada wajah penduduk kampung kerana mereka kini mempunyai tempat untuk menunaikan ibadat dengan lebih selesa dan selamat.
Masjid yang dinamakan sebagai Masjid Sheikh Datu Saribu itu kemudiannya dirasmikan oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika menghadiri program bersama rakyat di kampung berkenaan baru-baru ini.
Menurut Awang, penduduk kampung yang membantu membina masjid tersebut diberikan upah antara RM10 dan RM20 sehari.
”Kebanyakan mereka adalah petani dan nelayan. Jika mereka membantu membina masjid ini bermakna mereka tidak ke kebun atau ke laut mencari pendapatan harian. Oleh itu, gaji itu sekadar sumbangan bagi menghargai pengorbanan mereka,” katanya.
Awang berkata, sebenarnya masjid tersebut belum 100 peratus siap dan masih banyak kemudahan lain perlu dibina seperti tempat mengambil wuduk dan tandas.
Selain itu, kerja-kerja akhir seperti menampal tiang-tiang dalam masjid dengan jubin dan memasang peralatan sokongan perlu dilakukan tetapi terbantut kerana ketiadaan peruntukan.
”Pada saya keutamaan adalah membina pagar bagi menghalang haiwan masuk dan mencemari kawasan masjid. Selain itu, pagar juga penting kerana keselamatan. Satu pintu cermin masjid ini telah retak kerana ditanduk kerbau.
”Kemudahan lain yang perlu dibina ialah tempat mengambil wuduk dan tandas. Bagaimanapun, dua kemudahan itu sukar untuk dibina masa ini kerana ketiadaan bekalan air bersih yang tetap.
”Pada masa ini kampung ini masih bergantung air hujan. Kami cuba menggali perigi tetapi yang keluar adalah air masin,” katanya.
Awang menambah, cabaran utama dalam pembinaan masjid itu adalah untuk membawa bahan binaan ke pulau berkenaan.
Menurut Awang, walaupun Masjid Sheikh Datu Saribu tidak secantik masjid-masjid lain tetapi mereka bangga kerana masjid tersebut berdiri hasil himpunan pengalaman, kudrat dan keringat penduduk kampung itu.
Salam,
Tahniah atas pembinaan mesjid baru, semoga ia dapat dimenfaatkan dengan sebaik2nya.