ISA lebih sesuai dikaji semula bukan dihapus: Shafie
Beliau berkata, akta itu lebih sesuai dikaji semula mengikut perubahan dan keadaan semasa dalam negara untuk memenuhi kehendak perundangan.
Katanya, kerajaan mengambil iktibar keadaan yang berlaku di negara jiran seperti Indonesia yang menghadapi keadaan tidak aman dan Thailand yang sukar membendung masalah dalaman membabitkan rakyatnya.
“Gagasan perundangan yang diubahsuai itu seharusnya dapat membantu negara mengambil tindakan segera bagi membanteras ketidak tenteraman dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu di sini, hari ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Rabu lalu mencadangkan ISA dimansuhkan atau dikaji semula supaya tahanan mendapat hak sewajarnya untuk membela diri.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, perubahan terhadap ISA bagaimanapun hendaklah dapat mengatasi karenah yang membantutkan siasatan dan akhirnya memudaratkan keselamatan negara.
“Saya yakin dan setuju satu reka bentuk perundangan yang tidak semestinya ISA dibuat tetapi ia juga tidak menghalang kita daripada mengambil tindakan pantas dan tegas terhadap pihak-pihak yang mengganggu gugat keamanan negara,” katanya.
Shafie berkata, negara maju seperti Amerika Syarikat masih menggunakan akta seperti ISA untuk membanteras ancaman yang mengganggu keselamatan dan keamanan dalam negaranya.
Lebih 300 perwakilan bahagian Kulim/Bandar Baharu yang diketuai Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menghadiri mesyuarat sehari itu di sini. – Bernama