Feeds:
Kiriman
Komen-komen

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM 1 KEMAS, SALAM AIDILFITRI

DSC02127DSC02135

Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT dan Selawat Ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW. Setelah kita menempuhi hampir sebulan Ramadhan dengan menahan lapar dan dahaga di siang hari. Puasa banyak memberi rahmat dan kesihatan dengan amalan pemakanan yang sederhana dan merehatkan badan waktu siang.

Saya ingin mengucapkan jutaan berbanyak-banyak terima kasih kepada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi memeriahkan Majlis Penyampaian Program Tambahan makanan Seimbang PTMS peringkat Daerah Semporna yang telah disempurnakan oleh YANG BERHORMAT DATO’ SERI HAJI MOHD SHAFIE BIN HAJI APDAL, Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Malaysia merangkap Naib Presiden UMNO Malaysia. Terima kasih kepada Pemaju-Pemaju Masyarakat TABIKA/TASKA yang menjadi peneraju utama dalam persiapan sebelum sehingga berakhirnya majlis. Saya amat kagum dan bangga dengan ketekunan dan kerajinan anda yang bekerja tanpa mengira masa dan penat.

Kepada rakan-rakan dari Jabatan KKLW yang ditempatkan di KEMAS PKM Semporna saya ucapkan jutaan terima kasih terutama kepada saudara RASHID dan Tuan Haji MOHAMMAD yang komited bersama-sama menjayakan program ini.

Sempena hari yang mulia yang akan menjelang tiba saya ARMENDRAH BIN ABDUL RASHID Penyelia KEMAS Semporna, isteri dan anak mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI Maaf zahir dan Batin.

 

Selamat Hari Raya AidilFitri Maaf Zahir dan Batin

 

ARMENDRAH BIN ABDUL RASHID

PENULIS SUARA KEMAS ZON

TAWAU. SABAH.

Pengerusi JKKK kenakan bayaran disiasat

KENINGAU 11 Ogos – Segelintir pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dibidas kerana mengenakan bayaran RM15 hingga RM20 bagi menandatangani borang permohonan Program Cari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketika mendedahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Justin Guka berjanji akan menjalankan siasatan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terbabit jika dakwaan itu terbukti benar.

“Perkara ini adalah serius dan siasatan sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan Pengerusi-Pengerusi JKKK dan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) kawasan Bingkor di sini semalam.

Pada majlis itu, Justin menyampaikan watikah pelantikan kepada 13 Pengerusi JKKK dan JKDB dari pekan Bingkor, bandar Keningau, Kampung Tohan Baru, Liau Ulu, Kuangoh, Berungis Baru, Kota Ayangan, Dangulad, Tangkungan, Tuarid Taud, Sasaie, Pagun Antolob dan Labak Baru.

Justin berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana tugas pengerusi dan ahli JKKK adalah untuk membantu dan membela kebajikan penduduk di kawasan masing-masing.

Katanya, tindakan meminta wang adalah tidak bertanggungjawab kerana meletakkan penduduk yang seharusnya dilindungi sebagai mangsa.

Beliau turut menggesa JKKK di daerah ini mengadakan mesyuarat sebulan sekali dan minit mesyuarat perlu dihantar kepada Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) dan Pejabat Daerah Keningau.

Katanya, ia bagi memastikan setiap JKKK menjalankan tanggungjawab membawa pembangunan sosioekonomi kepada masyarakat setempat.

Beri penerangan H1N1 kepada rakyat luar bandar, kata Nasir

12th August, 2009SEMPORNA: Menteri Di Jabatan ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, meminta Jabatan Kesihatan lebih kerap turun padang mengadakan sesi penerangan kepada masyarakat desa khususnya masyarakat luar bandar mengenai penyakit Influenza A (H1N1) yang kini semakin menular dan berbahaya.

Katanya, rakyat di kawasan luar bandar perlu diberikan penerangan secukupnya mengenai langkah-langkah mengatasi penularan penyakit itu serta amalan kesihatan seharian supaya mereka serius mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan dan segera mendapatkan rawatan anti viral sekiranya mendapat jangkitan.

Kes akibat Influenza A (H1N1) yang disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican sejumlah 203 kes baru kesemuanya kes tempatan membabitkan warganegara Malaysia dengan catatan kematian 32 orang di negara ini sementara di peringkat global, setakat ini virus tersebut telah mengorbankan sejumlah 1,688 orang di 174 negara daripada 208,155 kes yang dilaporkan.

Kini jumlah terkumpul kes H1N1 di Malaysia 1,983 kes di mana daripada enam kematian hanya satu kematian berlaku pada 9 Ogos manakala yang lain kematian yang berlaku terdahulu dan hanya disahkan ada jangkitan H1N1 pada 7 dan 8 Ogos tetapi dilaporkan secara formal sebagai kes kematian yang ada kaitan dengan jangkitan H1N1.

Nasir berkata, kebanyakan rakyat di kawasan luar bandar kurang arif mengenai bahaya sesetengah penyakit khususnya Influenza A (H1N1) dan pihak Jabatan Kesihatan seharusnya lebih pro aktif melaksanakan tugas mereka berdasarkan piagam Kementerian Kesihatan.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang, berkata demikian sempena merasmikan Malam Mesra & Anugerah Sukan Komuniti di Dewan Perpustakaan Semporna.

Hadir sama sempena majlis itu Wakil Pegawai Daerah Semporna, Haji Abdullah Sukka; Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan Senallang, Haji Tahir Amir; Ketua Daerah Semporna, OKK Haji Musa Sabahani; Kapitan Cina Kawasan Bubul, Datuk Chao Yan San; Kapitan Cina Kawasan bandar, Ong Hang Seng; Ketua Perpustakaan Daerah, Yapp Hee Cze; pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan serta pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan.

Sukan komuniti anjuran kelab sukan Komuniti Senallang itu telah diadakan pada Julai lalu dan disertai 5 Zon Kawasan Senallang dan disertai 5 pasukan Bolajaring; tiga pasukan bola tampar; 12 pasukan sepak takraw dan 11 pasukan bola sepak.

Sehubungan itu Nasir, mengingatkan masyarakat menjadikan program Sukan Komuniti itu menjadi pentas utama mengembalikan keutuhan minda dan sikap belia hari ini.

“Pemupukan budaya kepimpinan berwibawa, berdisiplin, berdaya maju dan bertanggungjawab hendaklah diterap dan menjadi fokus utama melibatkan golongan belia dalam setiap persatuan sukan,” kata Nasir.

Katanya, kemenangan dalam setiap pertandingan sukan tidak dijadikan matlamat mahu pun sasaran menyertai sebarang pertandingan sukan tetapi yang penting adalah penerapan nilai-nilai murni sebagai teras melahirkan modal insan berkualiti yang menjadi sandaran nusa dan bangsa.

“Aktiviti sukan merupakan sebahagian amalan cara hidup yang sihat dan ianya juga sebagai landasan para belia mengeratkan perpaduan dengan menerapkan semangat bantu membantu dalam menentukan kejayaan bersama,” kata Nasir.

Dalam pada itu Nasir mengingatkan golongan belia tidak hanya lalai bersukan dan bijak mengurus masa serta tidak meninggalkan ibadah.

Beliau berkata golongan belia perlu menjauhi budaya negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat negara ini.

Najib Umum Enam NKRA Dan Senarai Menteri Yang Menerajuinya PDF Print E-mail

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah.

Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

“Saya ingin mengisytiharkan bahawa bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai ‘lead minister’ atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan,” katanya ketika berucap di majlis Perdana Menteri Bersama Anggota Pentadbiran dan penjawat Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Menurutnya bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran), manakala bagi mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri), dan NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

“Hari ini saya akan letakkan KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPInya dengan sasaran khusus agar dapat diukur.

“Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang dipateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan,” katanya.

Najib berkata kerajaan komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI.

Beliau berkata semua ini dilakukan bagi memastikan akhirnya rakyatlah yang akan memperoleh segala faedah nanti.

Menurutnya beliau selaku Perdana Menteri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut.

“Setiap minggu saya akan berjumpa dengan setiap ‘lead minister’ ini bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu, saya akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan,” katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA pula tidak terkecuali daripada mempunyai KPI kerana mereka tetap dipertanggungjawab untuk mencapai KPI kementerian masing-masing, yang akan dinilai oleh Perdana Menteri sendiri setiap enam bulan.

Beliau mengakui pengenalan NKRA dan KPI bukan satu perkara yang baru, namun menurutnya “keluasan dan keperincian inisiatif” yang ditekankan pentadbiran sekarang adalah sesuatu yang “belum pernah ditampilkan sebelum ini” dan menjadi tanda aras yang terkini.

“Selain itu sesuai dengan pengumuman saya ketika berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama perkhidmatan awam mengenai ‘cross-fertilisation’, suka saya umumkan bahawa 20 nama kakitangan kerajaan dan 20 kakitangan GLC sudah dikenal pasti untuk ditempatkan dalam program ini yang dijadualkan bermula 1 Sept ini,” katanya.

Najib berkata sebagai ketua kerajaan beliau insaf bahawa yang akan menilai kepimpinan beliau akhirnya adalah rakyat sendiri.

“Saya sedar bahawa apa yang digariskan hari ini adalah sesuatu yang monumental. Ia melibatkan komitmen mendalam dan tuntutan yang tinggi kepada anggota pentadbiran dan penjawat awam secara kolektif.

“Yang nyata, amanah yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan di atas jemala pentadbiran ini bukanlah perkara yang mudah, sebaliknya saya bertanggungjawab untuk membuat perkara yang betul walaupun ia sukar.

“Jelas sekali kita tidak punyai pilihan, sama ada bergerak maju ke hadapan dengan penuh yakin, atau mengambil risiko untuk ditinggalkan dalam perlumbaan global yang sengit,” kata Perdana Menteri.

Sumber : Bernama

Penjawat Awam Perlu Tetapkan Pemikiran Beri Tumpuan Laksana NKRA – Najib

<!–

By: Ramjit

–>

 

PUTRAJAYA, 3 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mahu anggota pentadbiran dan penjawat awam menetapkan pemikiran bagi memberi tumpuan terhadap enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang telah diumumkan baru-baru ini agar dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen dan kesungguhan.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan dua tujuan utama dapat dicapai iaitu memenuhi hasrat dan jangkaan rakyat serta dapat melihat transformasi besar terhadap negara.

“Sekarang ini, kita dah masuk dalam “action mode”, dan bukan lagi tentang matlamat atau sasaran tetapi kaedah tindakan iaitu apa yang patut dilakukan,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini Isnin.

Isnin lalu, Najib mengumumkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah.

Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Najib berkata enam bidang keberhasilan utama negara telah dikenalpasti dan setiap bidang itu mempunyai KPI yang merupakan satu komitmen anggota pentadbiran dan penjawat awam untuk bersama-sama dalam satu pasukan bagi memenuhi apa yang telah ditentukan.

“Ini berkait rapat dengan kebertanggungjawaban atau akauntabiliti yang bererti kita sanggup meletakkan kepentingan kita malah kita sanggup dikritik atau dihukum jika kita gagal untuk mencapai sasaran utama yang telah kita tetapkan itu,” katanya.

Katanya kerajaan berasakan amat penting meletakkan bidang keberhasilan utama dan juga sasaran yang perlu dicapai dalam jangka waktu tertentu kerana setiap bidang berkait rapat dengan citarasa dan jangkaan rakyat.

“Sehubungan ini, saya ingin melahirkan rasa terima kasih saya dan apresiasi saya yang amat tinggi bukan sahaja di kalangan anggota pentadbiran tetapi penjawat awam, daripada KSN (Ketua Setiausaha Negara) sampailah kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan yang amat komited untuk menjayakan bidang keberhasilan utama negara.

“Ini adalah satu petanda baik apabila kita amat komited dengan semangat kebersamaan ini. Saya percaya ada kemungkinan besar apa yang diharapkan oleh kerajaan dan apa yang menjadi jangkaan rakyat itu, ada harapan besar untuk dicapai oleh kita,” katanya.

Najib berkata tujuan beliau mengisytiharkan kaedah KPI akan menjadi piawaian kepada kaedah pentadbiran kerajaan kerana percaya cara seperti itu merupakan radas imbangan kerja yang amat berkesan.

“Saya percaya bukan saja kita dapat memenuhi jangkaan rakyat tetapi dalam usaha kita untuk membangunkan negara, saya dapat simpulkan bahawa kita ingin melakukan bukan sahaja perubahan tetapi transformasi terhadap negara,” katanya.

Katanya transformasi akan hanya dapat dicapai jika berdasarkan kepada pencapaian berasaskan kepimpinan.

“Ini adalah kerana penilaian yang paling bermakna sekali ialah pencapaian, bukan dari segi slogan, retorik, pidato yang sangat bermutu tetapi semuanya mengenai pencapaian.

“Jika kita boleh menentukan pencapaian kita itu merupakan pencapaian yang amat bermakna, amat berkesan, saya yakin dan percaya apa yang kita hasratkan iaitu transformasi besar negara kita sama ada nak jadi negara maju, atau sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi berteraskan inovasi, maklumat, atau model berpendapatan tinggi, kita tak dapat lari daripada pencapaian,” katanya.

ISA lebih sesuai dikaji semula bukan dihapus: Shafie

KULIM: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih relevan dengan suasana dalam negara dan tidak perlu dimansuhkan.

Beliau berkata, akta itu lebih sesuai dikaji semula mengikut perubahan dan keadaan semasa dalam negara untuk memenuhi kehendak perundangan.

Katanya, kerajaan mengambil iktibar keadaan yang berlaku di negara jiran seperti Indonesia yang menghadapi keadaan tidak aman dan Thailand yang sukar membendung masalah dalaman membabitkan rakyatnya.
“Gagasan perundangan yang diubahsuai itu seharusnya dapat membantu negara mengambil tindakan segera bagi membanteras ketidak tenteraman dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu di sini, hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Rabu lalu mencadangkan ISA dimansuhkan atau dikaji semula supaya tahanan mendapat hak sewajarnya untuk membela diri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, perubahan terhadap ISA bagaimanapun hendaklah dapat mengatasi karenah yang membantutkan siasatan dan akhirnya memudaratkan keselamatan negara.

“Saya yakin dan setuju satu reka bentuk perundangan yang tidak semestinya ISA dibuat tetapi ia juga tidak menghalang kita daripada mengambil tindakan pantas dan tegas terhadap pihak-pihak yang mengganggu gugat keamanan negara,” katanya.

Shafie berkata, negara maju seperti Amerika Syarikat masih menggunakan akta seperti ISA untuk membanteras ancaman yang mengganggu keselamatan dan keamanan dalam negaranya.

Lebih 300 perwakilan bahagian Kulim/Bandar Baharu yang diketuai Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menghadiri mesyuarat sehari itu di sini. – Bernama

BENGKEL PELAN TINDAKAN PEMBANGUNAN KAMPUNG  PERINGKAT PARLIMEN P188 SILAM :  DIRASMIKAN OLEH: YB. TUAN HAJI SALLEH HAJI KALBI, AHLI PARLIMEN P188 SILAM

____________________________________________________________________________

 

LAHAD DATU- Bengkel Pelan Tindakan Pembangunan Kampung peringkat Parlimen P188 Silam telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Lahad Datu. YB. Tuan Haji Salleh Haji Kalbi, Ahli Parlimen P188 Silam merangkap Duta Keamanan PBB dijemput bagi perasmian penutup yang berakhir lebih kurang jam 5.05 petang.

Objektif bengkel ini bagi memberi pendedahan kepada Pengerusi dan Jawatankuasa JKKK kampung berhubung falsafah dan strategi baru pembangunan luar Bandar dan gerakan daya wawasan. Memahami misi pembangunan luar Bandar bagi membentuk kampung yang maju, menarik dan menguntungkan (3M). Berkebolehan untuk merancang, melaksana dan menilai program pembangunan setempat. Diakhir bengkel ini para peserta mendapat pendedahan bagi membentuk kumpulan, memahami matlamat latihan dan menghayati peranan mereka sebagai anggota kumpulan.

YB. Tn. Hj. Salleh menerima Cenderakenangan drpd Wakil Pengarah KEMAS Sabah. YB. Tn. Hj. Salleh menerima Cenderakenangan drpd Wakil Pengarah KEMAS Sabah. 
YB. Tn. Hj. Salleh menyampaikan Sijil pentyertaan kepada peserta Bengkel. YB. Tn. Hj. Salleh menyampaikan Sijil pentyertaan kepada peserta Bengkel. 
YB. Tn. Hj. salleh berpesan kepada peserta agar melengkapkan profail kampung bagi kemajuan kampung yang maju,menarik dan menguntungkan YB. Tn. Hj. salleh berpesan kepada peserta agar melengkapkan profail kampung bagi kemajuan kampung yang maju,menarik dan menguntungkan 
Gambar kenangan bersama YB. Tn. Hj. salleh Hj. Kalbi bersama Peserta dan staf kemas, Penolong Pegawai Daerah L.D. Gambar kenangan bersama YB. Tn. Hj. salleh Hj. Kalbi bersama Peserta dan staf kemas, Penolong Pegawai Daerah L.D. 

YB. Silam berkata “ Setiap kampung perlu mempunyai profail bagi memudahkan urusan bagi perlaksanaan perancangan,perlaksanaan dan tindakan yang melibatkan urusan rasmi di Jabatan KEMAS, Pejabat Daerah, mahupun pihak Universiti yang hendak membuat kajian tentang kampung-kampung.”

Ustaz Jinirol memimpin bacaan doa

Ustaz Jinirol memimpin bacaan doa

Wakil Pengarah KEMAS Sabah berkata Peranan Pengerusi dan Ahli JKKK kampung bagi menyediakan Buku Profail adalah amat penting bagi kemajuan dimasa akan datang supaya kampung mampu berdaya saing bagi mewujudkan kampung maju, menarik dan menguntungkan

Wakil Pengarah KEMAS Sabah berkata Peranan Pengerusi dan Ahli JKKK kampung bagi menyediakan Buku Profail adalah amat penting bagi kemajuan dimasa akan datang supaya kampung mampu berdaya saing bagi mewujudkan kampung maju, menarik dan menguntungkan

Bengkel ini juga dihadiri oleh Tuan Juraimin  Hj. Jaddil, penolong Pegawai Daerah Lahad Datu, Wakil Pengarah Kemas Sabah, Tuan Suffindi Abd. Sunnat,En. Ladjarasa Mohd Noor, Penyelia Kanan Parlimen P188 Silam, En. Suharno Ali, Pegawai Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Lahad Datu, Harun Hj. Timpa, Peenyelia Pembangunan Desa Dan Perhubungan N50 Lahad Datu, Penulis Suara KEMAS Zon Tawau, Armendrah Abd. Rashid dan Kakitangan Kemas Parlimen P188 Silam. Antara kampung-kampung yang hadir dalam bengkel ini ialah kampung Tanjung Labian,kampung Cocos, kampung Getah dan kampung sungai Atas. Peserta yang hadir seramai 20 orang.

Suffindi berkata” Bengkel ini bertujuan mengemaskini data-data kampung terkini,memasukkan data Gerakan daya Wawasa dalam e-GDW yang boleh diakses melalui internet, member peluang kepada kampung-kampung baru supaya boleh berdaya saing dan berdaya maju standing dengan kampung-kampung lain.

 

Zaman IT- Anda boleh layari blog saya bagi melihat perkembangan semasa di kawasan mahupun dimana berada.

Zaman IT- Anda boleh layari blog saya bagi melihat perkembangan semasa di kawasan mahupun dimana berada.

 

ARMENDRAH BIN ABDUL RASHID

Penulis Suara KEMAS Zon Tawau