Beri penerangan H1N1 kepada rakyat luar bandar, kata Nasir |
|
12th August, 2009SEMPORNA: Menteri Di Jabatan ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, meminta Jabatan Kesihatan lebih kerap turun padang mengadakan sesi penerangan kepada masyarakat desa khususnya masyarakat luar bandar mengenai penyakit Influenza A (H1N1) yang kini semakin menular dan berbahaya.
Katanya, rakyat di kawasan luar bandar perlu diberikan penerangan secukupnya mengenai langkah-langkah mengatasi penularan penyakit itu serta amalan kesihatan seharian supaya mereka serius mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan dan segera mendapatkan rawatan anti viral sekiranya mendapat jangkitan. Kes akibat Influenza A (H1N1) yang disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican sejumlah 203 kes baru kesemuanya kes tempatan membabitkan warganegara Malaysia dengan catatan kematian 32 orang di negara ini sementara di peringkat global, setakat ini virus tersebut telah mengorbankan sejumlah 1,688 orang di 174 negara daripada 208,155 kes yang dilaporkan. Kini jumlah terkumpul kes H1N1 di Malaysia 1,983 kes di mana daripada enam kematian hanya satu kematian berlaku pada 9 Ogos manakala yang lain kematian yang berlaku terdahulu dan hanya disahkan ada jangkitan H1N1 pada 7 dan 8 Ogos tetapi dilaporkan secara formal sebagai kes kematian yang ada kaitan dengan jangkitan H1N1. Nasir berkata, kebanyakan rakyat di kawasan luar bandar kurang arif mengenai bahaya sesetengah penyakit khususnya Influenza A (H1N1) dan pihak Jabatan Kesihatan seharusnya lebih pro aktif melaksanakan tugas mereka berdasarkan piagam Kementerian Kesihatan. Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang, berkata demikian sempena merasmikan Malam Mesra & Anugerah Sukan Komuniti di Dewan Perpustakaan Semporna. Hadir sama sempena majlis itu Wakil Pegawai Daerah Semporna, Haji Abdullah Sukka; Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan Senallang, Haji Tahir Amir; Ketua Daerah Semporna, OKK Haji Musa Sabahani; Kapitan Cina Kawasan Bubul, Datuk Chao Yan San; Kapitan Cina Kawasan bandar, Ong Hang Seng; Ketua Perpustakaan Daerah, Yapp Hee Cze; pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan serta pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan. Sukan komuniti anjuran kelab sukan Komuniti Senallang itu telah diadakan pada Julai lalu dan disertai 5 Zon Kawasan Senallang dan disertai 5 pasukan Bolajaring; tiga pasukan bola tampar; 12 pasukan sepak takraw dan 11 pasukan bola sepak. Sehubungan itu Nasir, mengingatkan masyarakat menjadikan program Sukan Komuniti itu menjadi pentas utama mengembalikan keutuhan minda dan sikap belia hari ini. “Pemupukan budaya kepimpinan berwibawa, berdisiplin, berdaya maju dan bertanggungjawab hendaklah diterap dan menjadi fokus utama melibatkan golongan belia dalam setiap persatuan sukan,” kata Nasir. Katanya, kemenangan dalam setiap pertandingan sukan tidak dijadikan matlamat mahu pun sasaran menyertai sebarang pertandingan sukan tetapi yang penting adalah penerapan nilai-nilai murni sebagai teras melahirkan modal insan berkualiti yang menjadi sandaran nusa dan bangsa. “Aktiviti sukan merupakan sebahagian amalan cara hidup yang sihat dan ianya juga sebagai landasan para belia mengeratkan perpaduan dengan menerapkan semangat bantu membantu dalam menentukan kejayaan bersama,” kata Nasir. Dalam pada itu Nasir mengingatkan golongan belia tidak hanya lalai bersukan dan bijak mengurus masa serta tidak meninggalkan ibadah. Beliau berkata golongan belia perlu menjauhi budaya negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat negara ini. |
Beri penerangan H1N1 kepada rakyat luar bandar, kata Nasir
Ogos 12, 2009 oleh silamgemilang
Tinggalkan Jawapan