KUALA LUMPUR 7 Julai – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan melakukan lawatan kerja ke Projek Agropolitan Gahai dan Program Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil (Prosdet) di Kampung Pantos di Pahang, Khamis ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat kementerian itu hari ini, lawatan itu bertujuan melihat kemajuan yang dicapai projek-projek berkenaan.
‘‘Pelaksanaan kedua-dua projek tersebut bertujuan mengeluarkan Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) daripada garis kemiskinan yang melanda penduduk di kawasan itu.
‘‘Selain itu, lawatan tersebut juga bertujuan melihat kejayaan yang telah dicapai Prosdet dalam menyediakan pelbagai kemudahan bersepadu di kawasan terpencil,’’ kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Prosdet merupakan projek yang diusahakan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk setempat supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Jelasnya, ia dilakukan dengan menyediakan kemudahan infrastruktur, penempatan dan juga peluang-peluang ekonomi.
‘‘Kampung Pantos di Ulu Jelai, Lipis, Pahang merupakan satu-satunya kawasan pelaksanaan Prosdet untuk meningkatkan kualiti hidup serta pendapatan para peserta penempatan melalui kemudahan yang disediakan,’’ ujar kenyataan itu.
Utusan Malaysia
Tinggalkan Jawapan